Kisah keistimewaan Makam Syeikh Abdullah bin Abdul Qahar….

Diceritakan bahawa kawasan pemakaman keluarga Syeikh Abdullah bin Abdul Qahar dulunya dipagar dengan menggunakan sejenis kayu iaitu kayu berlian secara berpangkah-pangkah. Kayu berlian merupakan sejenis kayu yang keras dan bermutu serta susah untuk diperolehi. Namun sekarang kayu yang menjadi pagar makam tersebut telah habis semuanya diambil oleh orang-orang kampung berhampiran dan sekarang dipagar dengan pagar konkrit berwarna putih.

Makam Syeikh Abdullah dan keluarganya sekarang…

kayu berlian (sumber dari google images)

Dikatakan kayu berlian itu boleh digunakan untuk mengubat beberapa penyakit menyebabkannya habis diambil (mungkin lebih tepat ‘dicuri’) orang kampung berdekatan. Saya sendiri pernah bertemu dengan salah seorang yang menyimpan sedikit kayu tersebut dan diberitahu bahawa kayu itu boleh digunakan untuk merawat demam dan sakit perut dengan meminum air asahan kayu berlian itu…WALLAHUA’LAM..namun hajat saya untuk meminta secebis kayu tersebut tidak diperkenankan, untuk melihatnya pun tidak dipenuhi. Mungkinkah beliau ada alasan yang tersendiri dan orang tua yang menyimpan kayu berlian pagar makam itu telah pun meninggal dunia beberapa belas tahun yang lepas. Saya menemui orang tua ini pun semasa saya di usia belasan tahun dulu.

Terdapat juga satu cerita di mana ada seorang yang tidak mempercayai kekeramatan Tuk Pauh (orang kampung berhampiran percaya Tuk Pauh mempunyai keramatnya tersendiri) telah bertindak menyepak pagar makam Tuk Pauh (pagar makam masa ini masih dipagari dengan kayu berlian). Akibat daripada tindakan tersebut, orang itu telah jatuh sakit teruk sehingga perlu dipapah kembali ke makam Tuk Pauh untuk mengubatinya. Selepas peristiwa berkenaan, orang ini telah sembuh tetapi menjadi seperti seseorang yang tidak dipedulikan oleh masyarakat (istilah kampung saya dipanggil ‘tak naik darjat’). Nama orang yang menyepak pagar makam ada diberitahu tetapi saya sudah lupa dan saya cuba dapatkan kembali cerita ini dari sumber asal.

Update : Orang yang dimaksudkan dipanggil dengan panggilan nama Cik (Encik) Daud..

Peringatan:   Artikel ini ditulis bukan bertujuan untuk meminta sesiapa mempercayai kekeramatan kubur atau makam seseorang tetapi Allah boleh menganugerahkan kelebihan kepada sesiapa yang disukainya. Walaupun tidak mengagumi atau menyukai seseorang tetapi janganlah sampai bersikap kurang ajar..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *